SANDAKAN: Dua cubaan rentas sempadan dari Filipina berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi berasingan di perairan timur laut Pulau Berhala, di sini, pada Selasa.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 11 pagi.
Katanya, Kapal Maritim Pintar (KM Pintar) mengesan sebuah vesel mencurigakan kira-kira satu batu nautika dari Timur Laut Pulau Berhala dipercayai keluar dari Pulau Taganak, Filipina menuju ke perairan Malaysia.
“Pemeriksaan mendapati vesel berdaftar di bawah lesen kargo itu membawa 14 individu termasuk seorang tekong, terdiri daripada 12 lelaki dan tiga wanita berusia antara lapan hingga 70 tahun.
“Majoriti penumpang adalah bukan warganegara dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, salah seorang penumpang cuba menyogok pegawai penguatkuasa dengan wang tunai, namun gagal apabila pegawai bertugas bertindak tegas menolaknya dan merampas wang itu sebagai bahan bukti.
“Vesel dan semua penumpang ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan pada jam 2.53 petang untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi berasingan pada hari yang sama kira-kira jam 12 tengahari, sebuah lagi vesel tanpa nombor pendaftaran telah dipintas kira-kira 4.3 batu nautika dari Pulau Berhala.
Mengulas lanjut, Suhairy berkata, pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh seorang tekong warga Filipina yang hanya memiliki MyKas, bersama dua awak-awak warga asing dan seorang warga tempatan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 12 tong berisi petrol dianggarkan sebanyak 300 liter, selain 700 liter lagi disimpan dalam tangki utama bot bagi menggerakkan tiga enjin luar 250 kuasa kuda.
“Bahan api ini dipercayai digunakan untuk perjalanan ulang alik antara Malaysia dan Filipina,” katanya.
Katanya, antara kesalahan yang dikesan termasuk bot tidak berdaftar dan tidak dilesenkan (Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002) serta membawa petrol tanpa permit sah (Akta Kawalan Bekalan 1961).
“Ini bukan sekadar bot tidak sah. Ini perangkap maut terapung yang sarat bahan mudah terbakar, tanpa sebarang ciri keselamatan.
“Bot terbabit dipercayai terlibat dalam aktiviti rentas sempadan secara senyap. Semua suspek serta vesel dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh kawalan sempadan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan penyeludupan, pemerdagangan manusia atau pencerobohan.