39 PTI ditahan JIM Sabah dalam serbuan kilang di Papar, Inanam
16:05 May 29, 2025  |  By SabahKini2
39 PTI ditahan JIM Sabah dalam serbuan kilang di Papar, Inanam

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, cubaan meloloskan diri itu gagal selepas berjaya ditahan pasukan operasi menerusi 'Ops Mahir' yang bermula kira-kira jam 10 pagi Rabu.

KOTA KINABALU: Sekumpulan pendatang tanpa izin (PTI) melarikan diri ke hutan berhampiran tempat kerja mereka di Inanam dan Papar sebaik menyedari kehadiran sepasukan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam satu serbuan di sini.

Segelintir PTI terbabit juga dilihat sanggup membahayakan diri dengan memanjat pagar zink yang memisahkan kawasan kilang dan hutan bagi mengelak daripada dicekup.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, cubaan meloloskan diri itu gagal selepas berjaya ditahan pasukan operasi menerusi 'Ops Mahir' yang bermula kira-kira jam 10 pagi Rabu.

Katanya, serbuan yang dilakukan di dua kilang perabot di Inanam dan kilang Bata, di Papar dilaksanakan 70 pegawai pelbagai pangkat yang memeriksa 353 individu keseluruhan.

"Daripada jumlah yang diperiksa, seramai 39 individu berusia lingkungan 20 sehingga 45 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan Imigresen. 

"Antara kesalahan iaitu tiada dokumen perjalanan yang sah dan penyalahgunaan pas lawatan," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Beliau berkata, semua yang ditahan kebanyakannya adalah warganegara Filipina dan Indonesia.

"Semua PTI yang ditahan dibawa ke pejabat JIM Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dalam tempoh Januari sehingga hari ini, seramai 5,926 PTI dihantar pulang ke negara asal masing-masing membabitkan 74 kali penghantaran pulang.

"Penghantaran pulang semua PTI terbabit  melalui udara sebanyak 140 manakala pengusiran melalui laut sebanyak 5,786," katanya. 

Comment