KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth (HQE) melakar sejarah tersendiri apabila melancarkan papan tanda baharu dan galeri sejarah sebagai usaha memelihara warisan institusi kesihatan tertua di Sabah pada Khamis.
Inisiatif berkenaan diterajui oleh Commonwealth Association of Leadership Malaysia (CALM) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan pihak pengurusan hospital.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun semasa menyempurnakan majlis penyerahan rasmi papan tanda dan galeri sejarah menyifatkan usaha berkenaan sebagai satu penghargaan terhadap sumbangan besar hospital dalam sejarah perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
“HQE memainkan peranan penting dalam kehidupan rakyat Sabah sejak sekian lama, inisiatif ini memastikan sejarah dan pengorbanan mereka yang berkhidmat di sini tidak dilupakan.
“Papan tanda baharu yang dilancarkan hari ini bukan sekadar penanda lokasi, malah berperanan sebagai penanda sejarah yang menyorot asal-usul penubuhan HQE sejak era penjajahan British.
“Ia turut memperingati perasmian hospital oleh Countess of Perth pada tahun 1957 dan lawatan bersejarah Ratu Elizabeth II pada tahun 1972 yang membawa kepada penamaan rasmi hospital ini,” katanya.
Sementara itu katanya, galeri sejarah HQE pula menampilkan pelbagai koleksi foto, dokumen dan artifak penting yang merakam detik-detik bersejarah sepanjang perkembangan hospital dari dahulu hingga kini.
“Galeri ini dibuka kepada orang awam dan berperanan sebagai sumber rujukan kepada pelajar, penyelidik serta masyarakat umum yang ingin mengetahui sejarah sistem kesihatan di Sabah,” katanya.
Masidi turut merakamkan penghargaan kepada CALM atas komitmen dan kepimpinan dalam menjayakan projek ini serta memuji kerjasama erat antara CALM, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan HQE.
Beliau juga mencadangkan agar hospital-hospital lain di seluruh Sabah mencontohi langkah HQE dalam memelihara warisan masing-masing agar generasi akan datang lebih menghargai sejarah institusi kesihatan negara.