KOTA KINABALU, 23 Jun- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri yang juga Ahli Parlimen UMNO yang terlibat dalam skandal rasuah melibatkan permohonan lesen cari gali sumber mineral di Sabah.
Individu terbabit dikenal pasti sebagai Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy turut memegang jawatan sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Industri Sabah
Menurut sumber SPRM, Datuk Andi Muhammad yang ditahan kira-kira jam 9.30 pagi hari ini ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
“Suspek disyaki telah meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM150,000 daripada seorang individu bergelar Datuk (Albert Tei), kononnya bagi membantu menguruskan proses kelulusan lesen cari gali di negeri ini,” kata sumber itu.
Perbuatan tersebut dipercayai berlaku antara tahun 2023 hingga 2024, ketika permohonan lesen mineral sedang giat diproses oleh pelbagai agensi berkaitan di peringkat negeri.
Siasatan Di Bawah Akta SPRM 2009
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi media mengesahkan tangkapan tersebut. Menurut beliau, kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.
Suspek telah dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM50,000 tanpa deposit, berserta seorang penjamin selepas selesai memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat.
Suspek akan didakwa dalam masa terdekat.
Isu Lesen Mineral & Isu Integriti
Isu pelesenan cari gali mineral di Sabah telah mencetuskan pelbagai kontroversi sejak beberapa tahun lalu, terutamanya selepas pendedahan mengenai monopoli lesen mineral oleh Dato’ Albert Tei. 13 lesen palsu diberi kepada Albert Tei oleh pengurusan SMM yang lama diketuai Jontih Enggihon.
Tangkapan ini menjadikan Datuk Andi Suryady sebagai antara ahli politik terbaru yang terpalit dalam pendakwaan SPRM, selepas Dato' Albert Tei dan Datuk Dr Yusof Yakub yang diumumkan bakal didakwa di mahkamah pada 30 jun ini.
[ARTIKEL BERKAITAN -Skandal Mineral Sabah: Albert Tei 'Pemberi rasuah' dan Adun Sindumin Yusof Yacob bakal didakwa]
Perkembangan lanjut mengenai pendakwaan dan perincian kes akan diumumkan oleh pihak berkuasa dalam masa terdekat.