Motosikal bertembung dengan kereta, penunggang maut
16:06 Jun 24, 2025  |  By SabahKini2
Motosikal bertembung dengan kereta, penunggang maut

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu, mangsa berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Dam, di sini pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu, mangsa berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, pembonceng berusia 19 tahun mengalami kecederaan patah kaki kanan dan sedang menerima rawatan di hospital.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah kereta jenis sedan yang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun dalam perjalanan dari bandar Lahad Datu menuju ke arah Palm Height.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta terbabit dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain yang tidak dapat dikenal pasti. 

“Ketika melakukan potongan, kereta berkenaan bertembung dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, akibat pertembungan itu, motosikal bersama penunggang dan pemboncengnya tercampak ke bahu kiri jalan dari arah Palm Height ke bandar Lahad Datu, manakala kereta terbabit berpusing sebelum turut terbabas ke bahu jalan.

“Pemandu sedan tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, beliau meminta orang awam yang menyaksikan kejadian untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Jimmy turut menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu dengan berhemah, khususnya dalam keadaan hujan dan permukaan jalan licin bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Comment