Kapasiti operasi Pelabuhan Tawau akan meningkat dengan adanya kren baharu – Shahelmey
15:06 Jun 25, 2025  |  By SabahKini2
Kapasiti operasi Pelabuhan Tawau akan meningkat dengan adanya kren baharu – Shahelmey

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, keupayaan operasi pelabuhan dijangka bertambah sekali ganda apabila kren lama digantikan, sekali gus mempercepatkan proses pemunggahan dan pemuatan kontena.

TAWAU: Kementerian Kerja Raya Sabah menjangkakan peningkatan kapasiti operasi di Pelabuhan Tawau sebaik sahaja kren baharu yang dirancang tiba pada penghujung tahun ini atau awal 2026.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, keupayaan operasi pelabuhan dijangka bertambah sekali ganda apabila kren lama digantikan, sekali gus mempercepatkan proses pemunggahan dan pemuatan kontena.

Katanya, lawatan singkat ke Pelabuhan Tawau ini bertujuan meninjau sendiri operasi semasa, susulan aduan beberapa pemain industri perkapalan berhubung kerosakan kren yang berlaku sekitar bulan Mei lalu.

“Selepas beberapa sesi perbincangan antara Sabah Ports Sdn Bhd dan pemain industri perkapalan di pejabat saya, kita dimaklumkan bahawa kren di Pelabuhan Tawau sudah kembali beroperasi seperti biasa.

“Sabah Ports juga menyatakan komitmen untuk menggantikan kren lama dengan yang baharu menjelang hujung tahun ini atau awal tahun hadapan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata demikian selepas mendengar taklimat bersama Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah dan pihak pengurusan Sabah Ports Sdn Bhd di sini hari ini.

Menurutnya, pihak kementerian berpuas hati dengan perkembangan semasa operasi pelabuhan namun menekankan keperluan agar Sabah Ports memberi perhatian lebih serius terhadap aset-aset kritikal, khususnya yang sudah berusia.

“Kita mengingatkan pihak Sabah Ports supaya memberi penekanan kepada penyelenggaraan berkala semua aset utama pelabuhan bagi memastikan kelancaran operasi dan mengelakkan gangguan pada masa depan,” katanya.

Katanya, penambahan kren baharu bukan sahaja mampu meningkatkan kapasiti logistik tetapi juga selari dengan perancangan pembangunan pelabuhan pada masa depan.

“Kita sentiasa berbincang dengan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah dan Sabah Ports bagi memastikan pembangunan infrastruktur pelabuhan bergerak seiring dengan keperluan industri serta pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Comment