TAWAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 3.08 kilogram bernilai kira-kira RM105,000 dalam satu serbuan di kawasan Jalan Masuk Indrasabah, Fishing Paradise, 20 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat orang awam berhubung kegiatan mencurigakan seorang lelaki yang dikesan di kawasan berkenaan.
Katanya, suspek lelaki warga asing itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba melarikan diri dan membuang sebuah beg ketika dihampiri pasukan polis.
“Pasukan serbuan berjaya memberkas suspek yang bertindak agresif dan hasil pemeriksaan tidak menemukan sebarang objek terlarang yang dimilikinya.
“Suspek kemudian menunjukkan lokasi beg yang dibuang dan pihak polis menemukan tiga bungkusan teh bertulisan ‘Guanyinwang’ berwarna hijau.
“Setiap bungkusan mengandungi paket lut sinar berisi bahan disyaki syabu dalam bentuk hablur jernih seberat keseluruhan 3,085.64 gram dan rampasan dianggarkan bernilai RM105,000,” katanya semasa sidang media di IPD Tawau di sini.
Beliau berkata, suspek yang ditahan berumur dalam lingkungan 30 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil ujian saringan air kencing turut mengesahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Jasmin turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang giat mengesan rangkaian pengedaran yang berkait dengan suspek untuk siasatan lanjut.
“Polis ingin menegaskan bahawa memiliki, mengedar atau menyalahgunakan dadah adalah satu kesalahan serius di sisi undang-undang.
“Saya mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk membantu membanteras jenayah ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya terus ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian kecemasan 999,” katanya.