Tiga lelaki positif dadah ditahan polis ketika melarikan diri
16:06 Jun 26, 2025  |  By SabahKini2
Tiga lelaki positif dadah ditahan polis ketika melarikan diri

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 40 hingga 45 tahun dan bertindak melarikan diri dalam keadaan mencurigakan sebelum berjaya ditahan oleh anggota polis.

KOTA BELUD: Tindakan tiga lelaki yang melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis membawa padah apabila kegiatan pengedaran dadah mereka berjaya dibongkar dalam serbuan di Kampung Kelawat, di sini.

Serbuan dijalankan menerusi Ops Tapis Narkotik oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 40 hingga 45 tahun dan bertindak melarikan diri dalam keadaan mencurigakan sebelum berjaya ditahan oleh anggota polis.

“Polis berjaya merampas bahan disyaki dadah jenis syabu yang dipercayai untuk diedarkan di kawasan sekitar kampung berkenaan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Suspek kini ditahan reman di lokap IPD Kota Belud untuk siasatan lanjut sebelum tindakan pendakwaan diambil,” katanya ketika dihubungi.

Shahrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah untuk tujuan pengedaran serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah.

Beliau turut menegaskan bahawa Ops Tapis Narkotik akan diteruskan secara berkala sebagai langkah membanteras jenayah berkaitan dadah dan penyalahgunaan ketum di daerah ini.

Comment