PPM gagalkan cubaan seludup 416 tong petrol bernilai RM265,638
16:06 Jun 26, 2025  |  By SabahKini2
PPM gagalkan cubaan seludup 416 tong petrol bernilai RM265,638

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, pihaknya percaya minyak berkenaan cuba diseludup keluar dari negara ini oleh sindiket yang beroperasi secara terancang.

SEMPORNA: Cubaan sindiket penyeludupan membawa keluar minyak petrol bersubsidi digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Kampung Batu, di sini, semalam.

Dalam operasi sekitar jam 7.14 malam itu, tiga bot laju yang sarat membawa 416 tong jerekin berisi petrol berjaya dirampas, dengan anggaran keseluruhan nilai mencecah RM265,638.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, pihaknya percaya minyak berkenaan cuba diseludup keluar dari negara ini oleh sindiket yang beroperasi secara terancang.

Bagaimanapun katanya, tiada tangkapan dilakukan selepas suspek bertindak melarikan diri ke kawasan gelap perkampungan atas air sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan.

“Kejayaan operasi itu membuktikan komitmen berterusan PPM bagi membanteras jenayah penyeludupan di perairan negara, khususnya di kawasan panas seperti Semporna.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan dalang serta rangkaian sindiket ini,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Mohd Nazri berkata, pihaknya akan terus memperhebatkan rondaan dan operasi bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

“Saya menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras jenayah yang boleh menjejaskan ekonomi negara,” katanya.

Comment