KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik kerjasama strategik antara Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Negeri Sabah (UPPM) bagi memperluas capaian bekalan elektrik ke seluruh pelosok negeri khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata, inisiatif ini melengkapi usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat Sabah mendapat akses saksama terhadap bekalan tenaga elektrik.
“Usaha ini melengkapi inisiatif kerajaan negeri dalam memastikan rakyat di negeri ini, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, mendapat akses kepada bekalan elektrik,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sabah Electricity dan UPPM Sabah yang diadakan di Menara Kinabalu di sini.
Menurutnya, kerjasama ini juga selaras dengan peranan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.
“PPM memainkan peranan penting dan memikul tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan rasa tanggungjawab,” katanya.
Dalam MoU yang berkuat kuasa selama setahun ini, Sabah Electricity dan UPPM Sabah akan bekerjasama dalam beberapa bidang utama termasuk meningkatkan sambungan bekalan elektrik ke kawasan yang belum diliputi, membangunkan infrastruktur tenaga mampan serta memperhebat kesedaran orang awam mengenai perkhidmatan dan peranan Sabah Electricity, termasuk kepentingan penggunaan tenaga secara cekap.
Kerjasama ini juga dijangka membuka peluang pekerjaan kepada rakyat menerusi pelaksanaan projek-projek berkaitan yang akan dijalankan sepanjang tempoh MoU.
Secara keseluruhannya, kerjasama strategik ini dilihat sebagai titik tumpuan baharu bagi segala urusan berkaitan perkhidmatan Sabah Electricity dalam memastikan liputan bekalan tenaga yang lebih menyeluruh dan mampan di Sabah.
MoU ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Datuk Mohd Yaakob Jaafar, manakala UPPM Sabah diwakili oleh Pengarahnya Datuk Awang Kadin Tang.
Turut hadir menyaksikan majlis berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Brenndon Keith Soh.