SMJ Energy Sdn Bhd dianggar bernilai RM5 bilion
01:06 Jun 28, 2025  |  By SabahKini2
SMJ Energy Sdn Bhd dianggar bernilai RM5 bilion

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia satu pencapaian yang besar bagi syarikat yang hanya bermodalkan RM50 juta hasil suntikan dana kerajaan negeri ketika ditubuhkan tiga tahun lalu.

PUTATAN: Syarikat minyak dan gas milik kerajaan Sabah, SMJ Energy Sdn Bhd dianggarkan bernilai RM5 bilion berdasarkan nilai aset semasanya selepas beroperasi kira-kira tiga tahun.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia satu pencapaian yang besar bagi syarikat yang hanya bermodalkan RM50 juta hasil suntikan dana kerajaan negeri ketika ditubuhkan tiga tahun lalu.

Beliau berkata, pencapaian itu adalah hasil pelaburan dilaksanakan SMJ Energy dalam syarikat milik Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

"Seperti mana yang semua sedia maklum dan ini kita telah jelaskan atau mengumumkan beberapa kali, SMJ Energy ini, penubuhannya adalah hasil daripada Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS tiga tahun lalu.

"Jadi, kerajaan negeri memberi kita suntikan modal RM50 juta sebagai dana permulaan dan daripada RM50 juta itu kita bergerak melabur dalam syarikat-syarikat PETRONAS.

"Mengikut penilaian terbaru, syarikat RM50 juta ini sekarang bernilai RM5 bilion, dengan aset yang agak banyak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Petagas, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi SMJ Energy berkata demikian ketika diminta mengulas pencapaian semasa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah itu.

Katanya, pencapaian itu adalah hasil kerja keras tenaga profesional yang diambil bagi mengurus dan mengoperasikan syarikat berkenaan tanpa campur tangan politik.

"Operasi kita (SMJ Energy) 100 peratus adalah komersial, itulah faktor memberi keputusan (pencapaian) yang baik kepada syarikat ini.

"Malah, pada tahun lalu saja kita mencatat untung RM350 juta dengan hanya 30 orang kakitangan profesional yang menguruskan syarikat," katanya.

Katanya, SMJ Energy kini turut memiliki pegangan 50 peratus di lapangan minyak PETRONAS menerusi Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang.

Comment