SPRM siasat taikun syarikat Singapura didakwa pembiaya skandal rasuah
19:07 Jul 02, 2025  |  By SabahKini2
SPRM siasat taikun syarikat Singapura didakwa pembiaya skandal rasuah

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi, mengesahkan bahawa siasatan sudah dimulakan dan saksi-saksi berkaitan akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan lanjut.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap seorang taikun syarikat Singapura susulan pendedahan sebuah portal yang mendakwa individu terbabit adalah pembiaya utama skandal rasuah membabitkan Datuk Albert Tei dan beberapa pemimpin UMNO Sabah.

Menurut sumber, siasatan awal bertujuan untuk mengesahkan maklumat yang terkandung dalam artikel yang kini tular di media sosial, termasuk peranan taikun berkenaan dalam urusan kewangan, pemberian rasuah serta hubungan rapat dengan pengendali konsesi perlombongan di Sabah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi, mengesahkan bahawa siasatan sudah dimulakan dan saksi-saksi berkaitan akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan lanjut.

“Ya, SPRM sedang meneliti dakwaan yang dikemukakan dalam artikel terbabit dan akan memanggil individu berkaitan untuk rakaman percakapan,” katanya ringkas.

Pendedahan itu mendakwa Albert bertindak sebagai orang tengah yang menerima dana daripada taikun Singapura, dipercayai pengarah sebuah syarikat perlombongan tersenarai di Bursa Singapura.

Dana itu kemudian didakwa digunakan untuk memberi sogokan kepada beberapa pemimpin UMNO Sabah bagi mendapatkan kelulusan dan perlindungan terhadap projek perlombongan nadir bumi, emas dan arang batu di negeri berkenaan.

Beberapa pemimpin politik dipetik dalam laporan terbabit serta beberapa syarikat yang dikaitkan turut dipercayai berfungsi sebagai syarikat ‘front’ bagi mendapatkan konsesi lombong melalui hubungan politik.

Pendedahan turut mendedahkan wujudnya rakaman video sulit yang dipercayai digunakan untuk mengugut atau mengawal pemimpin-pemimpin tertentu, termasuk dari parti tempatan bagi menyokong agenda kartel perlombongan yang diketuai Albert Tei.

SPRM dalam pada itu menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Skandal ini dilihat sebagai ujian besar terhadap ketelusan pengurusan sumber asli di Sabah, selain menuntut tindakan tegas terhadap elemen rasuah yang melibatkan kerjasama antara pihak tempatan dan asing.

Comment