KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang berlangsung selama dua hari sejak semalam dan hari ini dijangkakan sidang terakhir sebelum dibubarkan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan perkara terbabit secara tidak langsung namun pada masa sama, beliau menjelaskan tarikh sebenar DUN dibubarkan akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.
"Kira-kira begitulah. Itu tidak boleh saya bagi (maklumkan tarikh) sekarang, tunggu. Kalau kita sudah tetapkan nanti, kita panggil semua kawan-kawan daripada media untuk kita umumkan bila tarikhnya.
"Sabar, tidak lama lagi. Janganlah kamu tanya bulan (bulan DUN bakal dibubarkan). Itu terpulang kepada Ketua Menteri.
"Saya mimpi dulu bila tarikh yang paling baik. Itu sedang diperhalusi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut ditanya mengenai perkembangan rundingan agihan kerusi bersama rakan sekutu dalam GRS dan PH Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Hajiji yang juga Pengerusi GRS itu bagaimanapun berkata, pihaknya mengadakan beberapa pertemuan dengan rakan sekutu lain dan akan memuktamadkan mengenai perkara terbabit.
"Jadi kita akan memuktamadkan nanti sebelum kita bubar DUN. Apa yang jelas sekarang kerajaan hari ini adalah GRS-PH, itu asas kita .. yang lain kita tengok macam mana," katanya.