JANS rancang ganti jaringan paip using sepanjang 1,200 km
20:07 Jul 08, 2025  |  By SabahKini2
JANS rancang ganti jaringan paip using sepanjang 1,200 km

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya berkata, antara program itu termasuk program penggantian paip usang dan menaik taraf paip transmisi serta agihan di daerah Sandakan, Keningau, dan Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) merancang untuk mengganti paip-paip yang usang melibatkan jaringan paip lama jenis AC paip sepanjang kira-kira 1,200 kilometer (km) melalui beberapa program.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya berkata, antara program itu termasuk program penggantian paip usang dan menaik taraf paip transmisi serta agihan di daerah Sandakan, Keningau, dan juga Kota Kinabalu.

Bagaimanapun katanya, sekiranya kerajaan hendak menggantikan paip-paip usang itu secara sekali gus, ia akan menelan kos yang agak tinggi. Justeru, ia akan dilakukan secara berfasa. 

"Sejak tahun lepas, pihak JANS melantik kontraktor-kontraktor pembaikan bagi kerja-kerja membaiki paip-paip yang bocor dan rosak di seluruh zon di negeri Sabah. Ini adalah usaha kita untuk memperbaiki dan mengganti paip-paip usang dan bocor yang sedang berlaku di beberapa kawasan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Annuar Ayub (STAR-Liawan) mengenai perancangan kerajaan untuk menggantikan paip-paip lama yang sering pecah khususnya di kawasan yang sering mengalami gangguan bekalan air kerana kebocoran paip usang.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury berkata, sehingga Rolling Plan Kelima (RP5) di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) tahun ini melalui Program Pinjaman 
Mudah Persekutuan, JANS telah dan sedang melaksanakan beberapa projek berimpak tinggi bagi menangani isu bekalan air jangka masa panjang.

Katanya, ia melibatkan sebanyak 18 projek di bahagian pantai barat, 15 projek di bahagian pedalaman, 12 projek bahagian Tawau, lima projek bahagian Sandakan dan dua projek bahagian Kudat.

Menurutnya, bagi perancangan RMK13) pada 2026, Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang meneliti cadangan bagi pelantikan perunding untuk melaksanakan kajian dan penyediaan pelan induk bagi seluruh daerah di Sabah.

"Kajian ini bertujuan merangka strategi dan pelan induk bagi mengoptimumkan bekalan air terawat yang selamat kepada seluruh komuniti di Sabah, meliputi keperluan jangka masa pendek, sederhana serta jangka panjang, termasuk cadangan pelaksanaan strategi Grid Air di seluruh negeri.

"Selain itu, KKR juga mengemukakan senarai keutamaan cadangan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang merangkumi penyelesaian isu bekalan air di daerah Tawau dan Sandakan, pelaksanaan Program Air Tidak Berhasil (NRW) secara holistik bagi daerah Keningau dan Beaufort.

"Selain itu, cadangan kerja-kerja penggantian paip-paip lama yang uzur di daerah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Sandakan," jelasnya.

Beliau berkata, JANS juga bercadang di bawah program yang sama untuk melaksanakan secara berfasa pembinaan Sistem Tangki Pra- Pemendapan di 22 Loji Rawatan Air (LRA) di seluruh Sabah dalam tempoh RMK13 tertakluk kepada kelulusan pihak Persekutuan.

Di samping itu katanya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui JANS juga meluluskan tiga projek di bawah RP5, RMK12 yang merangkumi penyelesaian isu bekalan air di daerah Kinabatangan, Beluran dan Pitas.

"Bagi penyaluran bekalan air alternatif pula, JANS tidak melaksanakan penyaluran bekalan air alternatif kepada pengguna kerana terikat kepada Enakmen Bekalan Air 2003 (Pindaan 2022) yang mana fungsi dan tanggungjawab JANS sebagai Pihak Berkuasa Air Negeri (PBAN) adalah untuk menyalurkan bekalan air yang dirawat kepada pengguna yang berdaftar sahaja. 

"Bagaimanapun, JANS tidak mempunyai halangan terhadap cadangan bekalan air alternatif dan sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama dan khidmat teknikal kepada organisasi atau agensi yang ditugaskan untuk melaksanakan projek-projek berkenaan," jelasnya.

Comment