Rampasan dadah di Sabah cecah RM6.56 juta dalam tempoh enam bulan
17:07 Jul 11, 2025  |  By SabahKini2
Rampasan dadah di Sabah cecah RM6.56 juta dalam tempoh enam bulan

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, jumlah itu melonjak hampir dua kali ganda berbanding RM2.62 juta bagi tempoh sama tahun lalu, menyaksikan peningkatan sebanyak RM3.94 juta.

KOTA KINABALU: Usaha agresif Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras jenayah narkotik di Sabah menunjukkan hasil memberangsangkan apabila rampasan dadah bernilai RM6.56 juta direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, jumlah itu melonjak hampir dua kali ganda berbanding RM2.62 juta bagi tempoh sama tahun lalu, menyaksikan peningkatan sebanyak RM3.94 juta yang disifatkan sebagai bukti kejayaan risikan dan tindakan berterusan oleh pasukan polis.

Katanya, pencapaian ini mencerminkan komitmen dan keberkesanan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah dalam mengekang aktiviti pengedaran dadah di negeri ini.

“Peningkatan rampasan ini adalah hasil daripada kerjasama risikan, pelaksanaan serbuan strategik dan tindakan bersepadu dengan pelbagai agensi penguat kuasa lain.

“Harapan saya adalah agar usaha ini dapat digandakan sepanjang tahun ini untuk mencapai semua Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Jauteh turut memaklumkan Bahagian Pelucuthakan Harta menunjukkan prestasi luar biasa dengan nilai sitaan mencecah RM8.29 juta dalam tahun ini berbanding hanya RM1.05 juta dalam tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan ketara sebanyak RM7.23 juta atau 785 peratus.

Beliau berkata, dari aspek operasi, terdapat sedikit penurunan dalam jumlah kes mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu 8,170 kes berbanding 8,173 kes pada tahun lalu.

“Namun begitu, jumlah tangkapan mencatatkan sedikit peningkatan, dengan seramai 8,542 orang ditahan tahun ini berbanding 8,517 orang bagi tempoh sama tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 25 orang.

“Dalam aspek pertuduhan pula, sebanyak 7,607 kes sudah dikemukakan melibatkan kes bekalan, pemilikan serta kes berkaitan Akta Racun, daripada keseluruhan 8,174 kes yang dibuka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh pegawai dan anggota JSJN serta rakan strategik yang sentiasa komited dalam memerangi jenayah narkotik di Sabah.

“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil dan seluruh jawatankuasa yang menjayakan perhimpunan bulanan ini,” katanya.

Comment