Kemboja lulus pindaan perlembagaan lucut kewarganegaraan terhadap pengkhianat
17:07 Jul 11, 2025  |  By SabahKini2
Kemboja lulus pindaan perlembagaan lucut kewarganegaraan terhadap pengkhianat

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kehakiman, Koeut Rith, berkata langkah itu bertujuan melindungi kedaulatan Kemboja dengan menyasarkan individu yang bertindak menentang kepentingan negara.

PHNOM PENH: Perhimpunan Kebangsaan Kemboja sebulat suara meluluskan draf pindaan perlembagaan bagi melucutkan kewarganegaraan individu yang melakukan pengkhianatan atau bekerjasama dengan pihak asing untuk melemahkan kerajaan.

Semua 125 anggota Perhimpunan Kebangsaan meluluskan pindaan terhadap Perkara 33 Perlembagaan Kemboja dalam sesi parlimen yang diadakan hari ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kehakiman, Koeut Rith, berkata langkah itu bertujuan melindungi kedaulatan Kemboja dengan menyasarkan individu yang bertindak menentang kepentingan negara.

"Inisiatif ini bertujuan mempertahankan kedaulatan negara dengan menyasarkan individu yang bersekongkol dengan kuasa asing untuk melemahkan negara.

"Langkah ini tidak akan menjejaskan rakyat yang kekal setia kepada Kemboja," katanya seperti dipetik agensi berita negara Agence Kampuchea Presse.

Cadangan untuk melucutkan kewarganegaraan itu dikemukakan ketika ketegangan di sempadan Kemboja-Thailand memuncak sejak 28 Mei.

Pindaan yang diluluskan pada Jumaat itu membuka laluan bagi mewujudkan kerangka undang-undang untuk melaksanakan pelucutan kewarganegaraan.

Rith turut berkata Kemboja bukan satu-satunya negara yang sedang menggubal undang-undang sedemikian. 

Comment