TAWAU: Tindakan nekad seorang lelaki yang membawa dadah merempuh kenderaan polis dan melanggar beberapa kenderaan orang awam di lampu isyarat Batu 3, Jalan Apas, di sini, mencetuskan suasana cemas dalam kejadian semalam.
Dalam insiden jam 1.45 petang itu, suspek berusia 25 tahun bersama seorang lagi lelaki warga asing berusia 18 tahun bertindak melarikan diri selepas menyedari mereka diekori pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang menjalankan Op Tapis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh, berkata suspek yang memandu kenderaan pacuan empat roda bertindak agresif dengan merempuh kenderaan polis dan beberapa kenderaan awam dalam usaha meloloskan diri.
“Suspek terus memecut secara melulu hingga ke lampu isyarat Jalan Apas dan melanggar beberapa kenderaan orang awam sepanjang laluan.
“Bagaimanapun, kedua-dua suspek berjaya ditahan selepas kenderaan mereka berjaya dikepung di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebuah beg kain di bawah brek tangan yang mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 5.13 gram dengan anggaran nilai pasaran kira-kira RM400.
“Siasatan awal turut mendapati kedua-dua suspek positif amphetamine dan methamphetamine. Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan usaha mengesan saki-baki rangkaian yang berkaitan masih diteruskan,” katanya.
Kejadian itu turut tular di media sosial selepas rakaman video insiden berkenaan dimuat naik oleh orang awam, sekali gus mencetuskan kebimbangan susulan tindakan suspek yang jelas membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Sehubungan itu, Jasmin menasihatkan orang ramai agar tidak bersubahat atau melindungi mana-mana individu terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha membanteras jenayah, khususnya pengedaran dadah yang menjadi ancaman utama kepada keselamatan komuniti.
“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh disalurkan kepada IPD Tawau atau melalui talian hotline 089-772121 yang beroperasi 24 jam atau menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) ,” katanya.