KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) mengumumkan pembayaran dividen sebanyak RM25 juta kepada para pemegang saham bagi tahun kewangan 2024.
Pembayaran itu mencerminkan prestasi kewangan syarikat yang kukuh serta komitmen berterusan terhadap pertumbuhan dengan tadbir urus yang baik.
Pembayaran dividen itu telah disampaikan secara rasmi oleh Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah ke-2 syarikat bagi 2025.
Majlis penyampaian itu turut disaksikan oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim bersama-sama ahli Lembaga Pengarah yang lain.
Daripada jumlah keseluruhan dividen itu, Sabah Economic Development Corporation (SEDCO) dan Lembaga Pelabuhan Sabah (SPA), yang mewakili kepentingan kerajaan negeri menerima sebanyak RM17.5 juta secara kolektif, manakala Tasek Corporation Berhad menerima RM7.5 juta.
Prestasi dividen yang kukuh ini disokong oleh keuntungan bersih yang telah diaudit sebanyak RM36.7 juta bagi tahun kewangan 2024, serta momentum positif berterusan dengan keuntungan bersih sebanyak RM33 juta yang direkodkan bagi separuh pertama tahun 2025.