KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah berjaya menumpaskan rangkaian sindiket penyeludupan minyak sawit mentah (CPO) yang aktif di pantai barat dan timur negeri ini menerusi beberapa siri serbuan sejak Januari lalu.
Komander Briged Sabah PGA Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Rani Alias berkata, sebanyak lapan serbuan dijalankan menerusi Op Kontraban (Op Taring Palma) melibatkan pelbagai batalion PGA.
“Operasi membabitkan BN14 Tawau, BN15 Sandakan, BN16 Kota Kinabalu, BN17 Lahad Datu, BN20 Beluran, BN21 Keningau dan BN22 Kunak.
“Seramai 26 individu ditahan, terdiri daripada 21 lelaki tempatan, empat warga Filipina dan seorang warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, kesemua yang ditahan disyaki terbabit dalam aktiviti penyimpanan dan pemindahan CPO tanpa lesen sah serta gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM11.87 juta, melibatkan CPO bernilai RM1.89 juta, kenderaan seperti lori dan treler RM9.32 juta serta pelbagai peralatan bernilai RM650,890.
“Kejayaan operasi ini berjaya memutuskan rangkaian sindiket yang menjalankan kegiatan pengedaran dan penyeludupan CPO di kawasan pantai barat dan timur Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa PGA akan terus komited menjalankan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam secara profesional demi kesejahteraan rakyat.
“Orang awam juga digesa menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat berhubung aktiviti penyeludupan di kawasan masing-masing.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan negara tidak dicerobohi oleh mana-mana elemen jenayah penyeludupan,” katanya.