Sabah Pegang 25% Ekuiti ZLNG Bernilai USD3.1 Bilion, Sasar Kukuh Jejak LNG Negeri
17:07 Jul 17, 2025  |  By SabahKini2
Sabah Pegang 25% Ekuiti ZLNG Bernilai USD3.1 Bilion, Sasar Kukuh Jejak LNG Negeri

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan kerjasama itu sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang Sabah bagi mempercepat pertumbuhan industri tenaga, menjamin bekalan tenaga mampan.

KUALA LUMPUR: Sabah hari ini melakar satu lagi pencapaian strategik dalam sektor tenaga apabila memuktamadkan perjanjian untuk memiliki 25 peratus ekuiti dalam kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pantai (ZLNG) di Sipitang, bernilai USD3.1 bilion (kira-kira RM13.17 bilion).

Pengambilalihan tersebut dimeterai melalui perjanjian induk antara syarikat milik penuh kerajaan negeri, SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam satu majlis di Malaysia Petroleum Club, menandakan langkah penting Sabah ke arah memperkukuh kedudukan dalam rantaian nilai industri LNG negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan kerjasama itu sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang Sabah bagi mempercepat pertumbuhan industri tenaga, menjamin bekalan tenaga mampan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi untuk rakyat negeri itu.

“Kemudahan ZLNG ini, dengan kapasiti dua juta tan setahun (MTPA), bakal menjadi elemen penting dalam pembangunan industri LNG Sabah. Terletak di perairan pantai Sipitang, ia dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2027,” katanya dalam kenyataan media pejabat Ketua Menteri.

Kemudahan itu kini sedang dalam pembinaan dan bakal melengkapkan infrastruktur LNG sedia ada di negeri itu, termasuk dua loji LNG terapung milik Petronas PFLNG1 (1.2 MTPA) dan PFLNG2 (1.5 MTPA) yang masing-masing telah beroperasi di perairan Sabah.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji turut mengumumkan hasrat kerajaan negeri untuk memperoleh 40% kepentingan penyertaan dalam PFLNG1, juga melalui SMJ Energy. Proses penilaian dan usaha wajar dijangka bermula pada separuh kedua 2025.

Langkah agresif Sabah ini dilihat sebagai kesinambungan dasar pengembalian hak dan hasil negeri yang diperjuangkan sejak kebelakangan ini, selaras aspirasi negeri untuk lebih berperanan aktif dalam pembangunan industri minyak dan gas.

ZLNG dijangka menjadi salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah dalam dekad mendatang, sekali gus menjadikan negeri itu sebagai pemain utama dalam sektor LNG Asia Tenggara.

3 Comments