KUDAT: Sebuah vesel nelayan asing (VNA) dari Vietnam bertindak agresif dengan merempuh bot ronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam cubaan melepaskan diri dalam satu operasi di Perairan Kudat.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, VNA terbabit bagaimanapun berjaya ditahan dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi di kedudukan kira-kira 1.22 batu nautika tenggara Tanjung Bukit, Pulau Malawali di sini.
Katanya, sebaik menerima maklumat yang disalurkan oleh orang awam, aset rondaan Zon Maritim Kudat, Bot Cenderawasih 10 yang sedang melaksanakan rondaan rutin dalam OP Sejahtera, OP Pluto Timur 2/2013, OP Cegah PTI 1/2022, OP Tiris 3.0 dan OP Naga Timur segera digerakkan ke lokasi.
“Ketika anggota cuba menghampiri, kru vesel berkenaan memotong tali tunda dan membiarkannya terjuntai di belakang bot.
“Kru juga bertindak memasang palang besi di kiri dan kanan vesel dipercayai bertujuan menyukarkan usaha mendekati bot berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambahnya, vesel berkenaan juga bertindak agresif dengan cuba merempuh bot Maritim Malaysia yang sedang berusaha untuk merapat.
“Namun, tindakan berani anggota kami berjaya mengekang cubaan itu selepas berlaku aksi kejar-mengejar hampir 15 minit sebelum pasukan berjaya melompat ke atas vesel dan menghentikan pergerakan.
“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap vesel ini mendapati terlibat dalam aktiviti menunda dan menangkap balat berdasarkan penemuan peralatan khas diperbuat daripada besi padu yang direka khusus untuk tujuan itu.
“Turut ditemukan kira-kira 40 kilogram hasil laut dipercayai balat dan anggaran 300 liter minyak diesel yang dibawa bersama,” katanya.
Beliau berkata, lima individu lelaki warga Vietnam berumur antara 28 hingga 39 tahun turut ditahan selepas didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Semua yang terlibat termasuk vesel, hasil laut serta peralatan ditahan dan diiring masuk ke jeti Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, hasil laut dan peralatan dianggarkan berjumlah lebih RM2 juta,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63.
Katanya, Maritim Malaysia merakamkan penghargaan kepada komuniti maritim di perairan Kudat yang terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah dan salah laku di laut.