KUALA LUMPUR: Rombongan negara bagi menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia di Jakarta pada 29 Julai ini dijangka turut disertai Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang antara lain bagi membincangkan berkenaan Laut Sulawesi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kehadiran kedua-dua pemimpin itu penting kerana sebarang keputusan berkaitan sempadan negara perlu mendapat persetujuan kerajaan negeri, selain membolehkan pandangan mereka didengar secara langsung oleh Indonesia.
"Hal ini dalam prosesnya mesti dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Sabah, jadi minggu ini, 29 Julai kita sambung perbincangan di Jakarta dan Ketua Menteri Sabah juga dalam rombongan, kerana bila ada tajuk perbincangan mengenai sempadan, persetujuan Sabah diperlukan.
"Mesyuarat rasmi dua hala, joint commission itu mesyuarat rasmidan mana-mana mesyuarat rasmi kalau melibatkan Singapura atau Indonesia, saya selalu - sebagai peraturannya, mengundang dan meminta Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah dalam rombongan, dan ini akan berlaku untuk 29 hari bulan ini," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai sama ada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 mengenai kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan dapat mempengaruhi penentuan sempadan maritim Malaysia dan Indonesia di kawasan Laut Sulawesi termasuk kedaulatan blok ND6 (Blok Y) dan ND7 (Blok Z).
Anwar berkata isu berkenaan persempadanan di Laut Sulawesi telah dibangkitkan dalam pertemuan beliau bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto yang mencadangkan penyelesaian secara bersama dalam semangat negara sahabat.
Bagaimanapun Perdana Menteri berkata belum ada sebarang persetujuan muktamad dicapai berhubung isu persempadanan di kawasan itu kerana ia masih dalam peringkat rundingan, dan pemeteraian Triti Laut Sulawesi antara Malaysia-Indonesia pada 2023 mengandungi klausa non-disclosure.
"Dia (Prabowo), dengan saya berhasrat kalau boleh kita kompromi (kerana) ini negara sahabat (namun sudah) 60 tahun tak terurus, tetapi walaupun sebahagian besar dipersetujui, (ada) bahagian yang dia tak setuju tentang persempadanan… jadi, caranya apa dengan negara sahabat? Kita rundinglah, tetapi pendirian kita tegas," katanya.
Anwar berkata pendirian Malaysia adalah konsisten, untuk menyelesaikan isu persempadanan secara rundingan, tanpa menjejaskan hubungan baik kedua-dua negara.
"Pandangan tentang kerjasama, jangan ada ketegangan, jangan berlaku pertempuran walaupun kecil di antara Tentera Laut Indonesia dan Tentera Laut Malaysia. Saya lihat dari segi nota yang sebelumnya, dalam pertemuan dua hala Perdana Menteri sebelum ini memang konsisten dan saya teruskan dengan semangat yang sama," katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkenaan kerjasama ekonomi di kawasan ND6 dan ND7, Anwar berkata projek berpotensi di kawasan itu tergendala kerana status sempadan yang belum dipersetujui bersama Indonesia.
"Kerjasama ekonomi itu kita kurang setuju kerana dia tidak harus memberi implikasi (bahawa) kita mengiktiraf kehadiran, kepentingan negara lain di kawasan kita...melainkan projek-projek yang kita laksanakan sendiri, dan sebab itu dalam soal ND6 dan ND7 ini, dia agak terbengkalai oleh kerana tak boleh masuk.
"Kalau kita masuk dengan rempuh juga, dia jadi macam sempadan Thailand dan Kemboja. Kita kena elak itu, terutama kerana Indonesia itu hubungannya sangat baik (dengan Malaysia)," katanya.
Anwar berkata walaupun hubungan diplomatik, kebudayaan dan ekonomi Malaysia-Indonesia berada dalam keadaan sangat baik, prinsip kedaulatan tetap menjadi keutamaan negara dalam sebarang perundingan.
"Mereka juga tahu kita sebagai negara berdaulat tidak boleh menyerahkan apa-apa dan proses rundingan harus diteruskan," katanya.