Sabah komited perkasa sektor industri kreatif tempatan – Hajiji
18:07 Jul 23, 2025  |  By SabahKini2
Sabah komited perkasa sektor industri kreatif tempatan – Hajiji

Hajiji berkata, dana itu penting dalam membantu penggiat seni dan produksi tempatan menghasilkan kandungan yang beridentitikan Sabah serta menampilkan cerita rakyat, sejarah dan bahasa sukuan kepada khalayak lebih luas.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri terus komited memperkasa sektor industri kreatif tempatan sebagai pemangkin ekonomi baharu dan medium pengukuhan naratif budaya Borneo ke persada nasional serta antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada tumpuan dalam Pelan Induk Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi digital dan industri berasaskan pengetahuan, termasuk kandungan kreatif.

Katanya, usaha sedang giat dijalankan bagi menaik taraf fasiliti berkaitan industri kreatif serta menyokong pembangunan pusat latihan dan inkubator kandungan di beberapa daerah seperti Kota Kinabalu, Keningau dan Sandakan.

“Kerajaan negeri menyambut baik kerjasama erat dengan agensi Persekutuan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang menyediakan Dana Kandungan Kreatif (DKK) untuk menyokong pertumbuhan industri ini di Sabah,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Dana Kandungan Kreatif (DKK) Sabah di sini, semalam.

Hajiji berkata, dana itu penting dalam membantu penggiat seni dan produksi tempatan menghasilkan kandungan yang beridentitikan Sabah serta menampilkan cerita rakyat, sejarah dan bahasa sukuan kepada khalayak lebih luas.

“Sabah memiliki lebih 30 etnik dan lebih 200 subetnik yang menjadikan negeri ini antara wilayah terkaya dari segi budaya lisan, visual dan naratif.

“Ini satu kelebihan yang wajar dimanfaatkan sebagai sumber kandungan kreatif yang autentik dan menarik,” katanya.

Menurutnya, keindahan alam semula jadi Sabah turut menjadi aset penting untuk diterjemahkan dalam pelbagai bentuk kandungan seperti filem, dokumentari dan program televisyen yang berpotensi menarik minat penonton dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, Hajiji merakamkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta pihak kementerian dan FINAS atas usaha membawa penganjuran program berimpak tinggi itu ke Sabah, yang disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap potensi negeri ini dalam industri kreatif.

“Penganjuran ini membuktikan kesungguhan kerajaan Persekutuan memperluaskan ekosistem kreatif negara ke luar Lembah Klang serta mengiktiraf Sabah dan Sarawak bukan sekadar lokasi penggambaran tetapi sebagai pusat penciptaan kandungan berkualiti,” katanya.

Beliau turut menyambut baik inisiatif Dana Program TV (Borneo) dan Dana Dokumentari bersama BORNEO TV yang disifatkan sebagai langkah strategik untuk menjadikan Borneo sebagai nadi kepada penghasilan kandungan segar dan asli.

Hajiji turut memuji pencapaian anak muda Sabah dalam melahirkan karya berkualiti menerusi platform seperti Sabah Film Lab, Mini Film Fest dan Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIFF) yang mendapat pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Saya menyeru lebih ramai anak muda, terutamanya dari luar bandar, untuk tampil menghasilkan karya berdasarkan kisah kampung halaman, sejarah keluarga dan budaya tempatan yang boleh diangkat menjadi karya besar jika diterjemahkan dengan baik,” katanya.

Beliau juga menyeru agar kandungan kreatif dimanfaatkan sebagai jambatan perpaduan, inspirasi pembangunan dan cerminan budaya Sabah dalam kerangka Malaysia MADANI.

Comment