SPRM reman lima suspek bantu siasatan kes rasuah lebih RM200,000
18:07 Jul 23, 2025  |  By SabahKini2
SPRM reman lima suspek bantu siasatan kes rasuah lebih RM200,000

Perintah reman terhadap kesemua suspek termasuk tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an itu dikeluarkan Majistret Yong Ching Hong di Mahkamah Majistret Sandakan pagi Rabu.

SANDAKAN: Lima individu termasuk jurutera, penolong jurutera serta kakitangan dan bekas kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM200,000.

Perintah reman terhadap kesemua suspek termasuk tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an itu dikeluarkan Majistret Yong Ching Hong di Mahkamah Majistret Sandakan pagi Rabu selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.

Menurut sumber, kelima-lima suspek ditahan sekitar jam 7 malam Selasa ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.

“Siasatan awal mendapati wang rasuah itu dipercayai diterima secara pindahan ke akaun peribadi masing-masing daripada beberapa kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja seliaan PBT sejak 2022.

“Wang berkenaan dipercayai sebagai balasan kepada bantuan mendapatkan sebut harga dan tender projek PBT dari 2022 hingga 2025,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, sekiranya disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Comment