Sabah sambut baik inisiatif berteraskan rakyat – Hajiji
18:07 Jul 23, 2025  |  By SabahKini2
Sabah sambut baik inisiatif berteraskan rakyat – Hajiji

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri menyambut baik inisiatif berteraskan rakyat tersebut kerana ia bertujuan mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melihat pengumuman khas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meringankan kos sara hidup rakyat sebagai petunjuk kepada asas ekonomi negara yang kukuh di bawah Kerajaan MADANI.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri menyambut baik inisiatif berteraskan rakyat tersebut kerana ia bertujuan mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat.

"Ia menunjukkan Perdana Menteri benar-benar mengambil berat terhadap kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hajiji berkata, bantuan one-off RM100 kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas bagi membeli barangan asas di 4,100 premis perniagaan, serta peluasan jualan Rahmah MADANI ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), merupakan berita baik kepada rakyat.

Beliau turut menyambut baik penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter melalui inisiatif subsidi bersasar, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 18 juta rakyat Malaysia, sebagai satu langkah yang menepati aspirasi rakyat.

“Pengisytiharan hari sebelum Hari Malaysia (15 September) sebagai cuti umum merupakan pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap kepentingan hari istimewa ini untuk seluruh negara,” katanya.

Comment