Rakyat berumur 18 tahun ke atas terima RM100 melalui MyKad – PM Anwar
23:07 Jul 23, 2025  |  By SabahKini2
Rakyat berumur 18 tahun ke atas terima RM100 melalui MyKad – PM Anwar

Katanya, jumlah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk tahun ini, dan ini adalah kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Beliau berkata pemberian bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos itu, adalah ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain sebagai penghargaan kepada rakyat yang memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.

Katanya, jumlah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk tahun ini, dan ini adalah kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.

"Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya seperti Mydin, Lotus's, Econsave dan 99 Speedmart serta kedai runcit di semua daerah seluruh negara.

"Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400," katanya.

Beliau berkata demikian dalam pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen serta platform media sosial hari ini.

"Ini bermakna, jumlah peruntukan STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025 – dan ini adalah kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kos sara hidup kekal sebagai cabaran mesti ditangani dengan bijaksana dan segera meskipun kadar inflasi keseluruhan pada Jun tahun ini adalah yang terendah dalam tempoh 52 bulan iaitu 1.1 peratus, namun kenaikan harga makanan minuman masih melebihi purata inflasi.

"Mungkin ada dalam kalangan kita yang punyai kemampuan dan tidak memerlukan bantuan ini.

"Kerajaan berhasrat supaya jumlah bantuan yang tidak dibelanjakan menjelang akhir tahun diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan tahun hadapan," katanya.

Comment