KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan untuk membabitkan kerajaan negeri Sabah dalam proses rundingan isu persempadanan maritim Malaysia dan Indonesia di Laut Sulawesi.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata wakil kerajaan negeri Sabah juga dibabitkan dalam mesyuarat-mesyuarat berkaitan serta rundingan teknikal persempadanan maritim di antara Malaysia dan Indonesia.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan juga sentiasa mengambil serius pandangan dan pendirian Sabah dalam membuat apa-apa keputusan dalam memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia sentiasa terpelihara.
"Perbincangan berkaitan sempadan maritim adalah berlandaskan kepada prinsip perundangan dan teknikal yang dilakukan secara teliti, cermat dan berhemat," katanya.
Beliau menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mengenai jaminan kerajaan memastikan keputusan dibuat agar benar-benar mempertahankan hak dan kedaulatan negara termasuk kepentingan bagi negeri Sabah.
Mohamad berkata, Malaysia kekal berpendirian Blok ND6 dan ND7 Laut Sulawesi adalah menjadi sebahagian dari kawasan kedaulatan Malaysia dan hak kedaulatan negara berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa yang terhasil selepas keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
"Rujukan 'Ambalat' kepada sebahagian blok adalah tidak tepat dan mengelirukan. Jadi rujukan yang betul kepada kawasan yang berkenaan yang perlu digunakan selaras dengan pendirian Malaysia adalah Laut Sulawesi," katanya.
Katanya, cadangan pembangunan bersama di Laut Sulawesi masih lagi di peringkat pertimbangan awal dan belum lagi muktamad.
"Kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri dan Presiden Indonesia pada 27 Jun 2025 berhubung dengan cadangan pembangunan bersama di Laut Sulawesi adalah merujuk kepada perkara yang masih lagi di peringkat pertimbangan awal bagi meneroka kebarangkalian kerjasama.
"Ini adalah usaha-usaha awal kedua-dua pemimpin mencuba untuk mencari penyelesaian terbaik bagi kedua-dua negara... dan masih tidak diputuskan perkara-perkara yang terperinci seperti kaedah apa yang akan digunapakai jika cadangan pembangunan bersama ini dilaksanakan," katanya.