Sabah komited melahirkan tenaga kerja tempatan mahir dalam sektor air
15:08 Aug 06, 2025  |  By SabahKini2
Sabah komited melahirkan tenaga kerja tempatan mahir dalam sektor air

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelaburan dalam modal insan menjadi asas penting dalam pembangunan mampan sekali gus melahirkan tenaga profesional yang mampu menerajui teknologi dan amalan baharu dalam industri air.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited untuk mempertingkatkan keupayaan tenaga kerja tempatan di Sabah termasuk dalam sektor air selaras dengan visi menuju kemakmuran negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelaburan dalam modal insan menjadi asas penting dalam pembangunan mampan sekali gus melahirkan tenaga profesional yang mampu menerajui teknologi dan amalan baharu dalam industri air.

“Dengan membekalkan golongan terbabit dengan pengetahuan dan kemahiran terkini, kita memperkasakan mereka untuk memimpin perubahan dalam sektor ini,” katanya.

Ucapannya disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir semasa merasmikan Asiawater Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Menurutnya, manfaat ekonomi daripada industri air dan kumbahan yang kukuh memberi impak besar kerana perkhidmatan air yang lebih baik menyumbang kepada tahap kesihatan awam yang lebih tinggi dan produktiviti yang meningkat.

“Apabila kita melabur dalam infrastruktur air, kita turut merangsang penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

“Ini memastikan semua rakyat Sabah dapat menikmati manfaat daripada kemajuan yang dicapai,” katanya.

Hajiji berkata, persidangan dan expo seperti Asiawater Sabah menjadi landasan penting untuk menangani isu-isu utama berkaitan air yang memberi kesan langsung kepada negeri ini.

Beliau yakin penganjuran acara itu akan membuka ruang kepada perbincangan serta penerokaan penyelesaian inovatif terhadap pelbagai cabaran mendesak.

“Apa yang lebih penting ialah mempertingkatkan keupayaan dan merangka strategi berkesan bagi menambah baik perkhidmatan air kepada masyarakat kita,” katanya.

Beliau turut berharap agar persidangan ini menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih erat dan perkongsian ilmu antara pihak berkepentingan.

Asiawater Sabah menghimpunkan pelbagai agensi, pakar industri dan penyedia teknologi dalam usaha mencari pendekatan terbaik untuk memperkukuh sistem pengurusan air di negeri ini.

Comment