SEMPORNA: Cubaan menyeludup petrol bersubsidi ke negara jiran digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi bersepadu di perairan Tanjung Kapur, di sini awal pagi tadi.
Operasi kira-kira jam 1 pagi itu dilakukan menerusi Op Pluto Timur 2/2013 selepas menerima maklumat risikan berhubung pergerakan sebuah bot kargo mencurigakan di lokasi terbabit.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, sepasukan anggota digerakkan menggunakan bot ronda BANGGI 10 dan berjaya mengesan bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
“Tekong bot bertindak melarikan diri ke kawasan cetek sebelum terjun ke laut dan menghilangkan diri ke dalam hutan bakau sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Pemeriksaan ke atas bot mendapati ia diubah suai bagi menambah kapasiti tangki bahan api, dipercayai bagi tujuan penyeludupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan 1,100 liter petrol disimpan di dalam tangki khas dan dipercayai cuba diseludup keluar dari negara ini.
“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot kargo, enjin sangkut 200 kuasa kuda dan pam elektrik dianggarkan bernilai hampir RM155,000.
“Kesemua barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Semporna untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan mengangkut barang kawalan tanpa kebenaran,” katanya.
Amir berkata, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan pengawasan di perairan negara khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.