Sabah perkukuh kedudukan sebagai hab logistik serantau
16:08 Aug 06, 2025  |  By SabahKini2
Sabah perkukuh kedudukan sebagai hab logistik serantau

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, kapasiti semasa Pelabuhan Sepanggar yang mampu menampung setengah juta Twenty-foot Equivalent Units (TEU).

KOTA KINABALU: SABAH terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab logistik serantau melalui pelbagai inisiatif pembangunan pelabuhan utama negeri. 

Projek peluasan Pelabuhan Teluk Sepanggar dijangka siap pada Februari tahun depan, penambahbaikan fasiliti di Pelabuhan Tawau, serta pembinaan terminal feri baharu di Kota Kinabalu, mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan kecekapan operasi, kapasiti kontena dan daya saing sektor perkapalan demi merangsang pertumbuhan ekonomi Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya pada Mac tahun ini berkata, kerja-kerja peluasan Pelabuhan Teluk Sepanggar yang dikendalikan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) itu telah mencapai 18 peratus siap.

Beliau berharap kerja itu dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan dan tiada lagi isu berkaitan wujud sehingga menjejaskan jadual kerja.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, kapasiti semasa Pelabuhan Sepanggar yang mampu menampung setengah juta Twenty-foot Equivalent Units (TEU).

Katanya, dengan laksanaknya projek perluasan itu, ia diharap dapat meningkatkan kapasiti pelabuhan kepada 1.2 juta TEU apabila siap sepenuhnya.

Katanya, ia menunjukkan potensi besar bagi Pelabuhan Sepanggar dalam memainkan peranan penting dalam sektor logistik dan perkapalan di Asia Tenggara pada masa depan.

Dalam pada itu, Kementerian Kerja Raya juga menjangkakan peningkatan kapasiti operasi di Pelabuhan Tawau sebaik sahaja kren baharu yang dirancang tiba pada penghujung tahun ini atau awal 2026.

Shahelmey pada Jun tahun ini berkata, keupayaan operasi pelabuhan dijangka bertambah sekali ganda apabila kren lama digantikan, sekali gus mempercepatkan proses pemunggahan dan pemuatan kontena.

Katanya, lawatan singkat ke Pelabuhan Tawau ini bertujuan meninjau sendiri operasi semasa, susulan aduan beberapa pemain industri perkapalan berhubung kerosakan kren yang berlaku sekitar bulan Mei lalu.

“Selepas beberapa sesi perbincangan antara Sabah Ports Sdn Bhd dan pemain industri perkapalan di pejabat saya, kita dimaklumkan bahawa kren di Pelabuhan Tawau sudah kembali beroperasi seperti biasa.

“Sabah Ports juga menyatakan komitmen untuk menggantikan kren lama dengan yang baharu menjelang hujung tahun ini atau awal tahun hadapan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga berpuas hati dengan perkembangan semasa operasi pelabuhan namun menekankan keperluan agar Sabah Ports memberi perhatian lebih serius terhadap aset-aset kritikal, khususnya yang sudah berusia.

“Kita mengingatkan pihak Sabah Ports supaya memberi penekanan kepada penyelenggaraan berkala semua aset utama pelabuhan bagi memastikan kelancaran operasi dan mengelakkan gangguan pada masa depan,” katanya.

Katanya, penambahan kren baharu bukan sahaja mampu meningkatkan kapasiti logistik tetapi juga selari dengan perancangan pembangunan pelabuhan pada masa depan.

“Kita sentiasa berbincang dengan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah dan Sabah Ports bagi memastikan pembangunan infrastruktur pelabuhan bergerak seiring dengan keperluan industri serta pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa infrastruktur pelabuhan bukan sahaja memperkukuh kedudukan negeri sebagai pintu masuk perdagangan serantau, malah membuka peluang baharu dalam sektor logistik, pelaburan dan ekonomi digital. 

Dengan kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan pemain industri, pelabuhan-pelabuhan utama seperti Sepanggar, Tawau dan Kota Kinabalu dijangka memainkan peranan lebih signifikan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhan ke arah Sabah yang lebih maju dan berdaya saing.

Comment