CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap penyebaran kandungan di media sosial berkaitan kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang didakwa mengandungi maklumat palsu dan unsur 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, kandungan berkenaan dikhuatiri mampu mencetuskan kekeliruan awam selain menjejaskan kelancaran siasatan pihak berkuasa.
“Individu terbabit telah dipanggil untuk sesi rakaman keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada 9 Ogos lalu bagi membantu siasatan.
“Satu unit telefon bimbit dan sekeping kad SIM turut disita bagi tujuan siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam menyebarkan sebarang kandungan berkaitan kes itu, terutama yang bersifat spekulasi dan belum disahkan kesahihannya.
“Penyebaran maklumat tidak tepat bukan sahaja berisiko mengguris hati keluarga mangsa, malah bercanggah dengan nilai etika dan boleh mengganggu proses keadilan.
“Orang ramai digesa memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan,” katanya.