KOTA KINABALU: Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Hamid Ismail mengakui proses siasatan pihak berkuasa dalam kes kematian pelajar itu kali ini dijalankan secara telus.
"Ya, memang telus," kata Hamid ketika ditanya pemberita di perkarangan Hospital Queen Elizabeth (HQE) ketika menunggu proses bedah siasat jenazah Zara Qairina yang bermula pada kira-kira jam 11 pagi tadi.
Proses bedah siasat itu dikendalikan Pakar Perunding Patologi Forensik Dr Khairul Anuar Zainun dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor bersama Pakar Patologi HQE, Dr Jessie Hiu dan dua doktor.
Hamid berkata, rakan guamannya, Shahlan Jufri turut memerhati proses bedah siasat atas permintaan keluarga.
Menurut, seorang jurugambar polis bersama dua anggota polis turut memerhati proses bedah siasat ke atas jenazah Zara Qairina.
Ditanya mengenai proses bedah siasat itu, beliau yakin ia dapat disiapkan pada hari ini, namun tidak mengetahui berapa lama prosedur itu dilaksanakan.
Katanya, selepas proses bedah siasat, Dr Jessie akan memaklumkan kepada keluarga arwah Zara Qairina mengenai hasil penemuan mereka.
"Jika didapati ada unsur jenayah dalam bedah siasat itu, laporan yang lebih rapi akan dibuat dalam kes itu.
"Itu akan dimaklumkan oleh Dr Jessie. Mungkin ia hanya preliminary findings (penemuan awal) tetapi jika ada unsur jenayah, laporan bedah siasat yang lebih rapi akan dibuat," katanya.
Sebelum bedah siasat, Hamid berkata, imbasan tomografi berkomputer (CT) terhadap jenazah Zara Qairina turut dibuat dan ia adalah imbasan kedua sebelum pengebumian kira-kira tiga minggu lalu.
Katanya, kedua-dua imbasan itu akan dihantar kepada pakar di Semenanjung Malaysia untuk dibuat perbandingan.
"Hasil bedah siasat akan diserahkan kepada kami secara rasmi, dan selepas selesai, jenazah akan dibawa balik ke Sipitang untuk pengebumian," katanya.