Kebakaran di Telupid memusnahkan lima kedai dan rumah sewa 13 pintu
14:08 Aug 10, 2025  |  By SabahKini2
Kebakaran di Telupid memusnahkan lima kedai dan rumah sewa 13 pintu

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 1.09 pagi.

BELURAN: Lima kedai, satu blok rumah sewa 13 pintu dan sebuah rumah separuh kekal musnah dalam kebakaran di Pekan Telupid, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 1.09 pagi.

Katanya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 100 kilometer dari balai.

“BBP Ranau turut membantu dengan kekuatan tiga anggota dan pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 3.23 pagi.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati lima kedai jenis tidak kekal telah terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, turut musnah dalam kejadian itu, satu blok rumah sewa jenis tidak kekal mengandungi 13 pintu dan sebuah rumah separuh kekal.

Beliau berkata, operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 800 kaki dengan dua pancutan dari sumber air jentera dan pili bomba berdekatan.

“Kebakaran dapat dikawal pada jam 3.34 pagi sebelum kerja-kerja overhaul dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca api, dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.28 pagi,” katanya.

Edoen berkata, tiada liputan radio GIRN di lokasi kejadian dan komunikasi maklumat dijalankan melalui aplikasi WhatsApp bersama ketua operasi di lapangan.

Operasi turut disertai lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dua petugas Sabah Electricity Sdn Bhd (SE).

Comment