Kes Zara Qairina: Polis tingkatkan rondaan di tanah perkuburan
23:08 Aug 11, 2025  |  By SabahKini2
Kes Zara Qairina: Polis tingkatkan rondaan di tanah perkuburan

Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintendan Awang Anak Suand, berkata langkah berkenaan termasuk pemasangan garisan polis serta menugaskan penduduk kampung sebagai pengawas komuniti dalam kawasan perkuburan.

SIPITANG: Polis meningkatkan rondaan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, di sini bagi memastikan keselamatan dan privasi penduduk susulan perhatian umum terhadap lokasi pengebumian itu ketika ini.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintendan Awang Anak Suand, berkata langkah berkenaan termasuk pemasangan garisan polis serta menugaskan penduduk kampung sebagai pengawas komuniti dalam kawasan perkuburan.

"Selama seminggu, kita akan memasang garisan polis pada jarak 100 meter dari kawasan pengebumian.

"Akan ada rondaan berkala oleh anggota polis di kawasan itu, dengan bantuan penduduk kampung sebagai penjaga di dalam kawasan perkuburan," katanya dihubungi, hari ini.

Awang turut menggesa orang ramai, khususnya pencipta kandungan, supaya menghormati privasi penduduk yang tinggal berhampiran tanah perkuburan berkenaan.

Tanah perkuburan itu menarik perhatian umum susulan proses penggalian semula dan pengebumian semula pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Zara Qairina Mahathir, yang mana kesnya masih dalam siasatan.

Selepas bedah siasat selama lapan jam di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu yang selesai pada jam 7.30 malam semalam, jenazahnya kemudian dibawa keluar dari hospital pada jam 9.20 malam menuju ke Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol.

Pengebumian semula Zara mengambil masa kira-kira 30 minit dan selesai sekitar jam 1 pagi tadi.

Pelajar berusia 13 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di SMKA Tun Mustapha, Papar pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.

Ibunya, Noraidah Lamat, memohon penggalian semula bagi menyiasat semula kes berkenaan.

Malam tadi, peguam kepada Noraidah, Shahlan Jufri, memaklumkan laporan bedah siasat dijangka siap dalam tempoh dua minggu.

Pasukan peguam juga akan memohon inkues sekiranya ahli keluarga Zara tidak berpuas hati dengan hasil laporan berkenaan.

Comment