KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu pasukan petugas khas dari Bukit Aman yang akan mengambil alih siasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) dalam kenyataan berkata, pasukan terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) itu digerakkan ke Kontinjen Sabah.
"Penghantaran pasukan 'task force' ini adalah sebahagian daripada komitmen PDRM untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
"PDRM memandang serius setiap kes yang membabitkan kehilangan nyawa," kata kenyataan itu, hari ini.
Justeru, PDRM menyeru masyarakat memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional serta elak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
Semalam, proses bedah siasat jenazah Allahyarham Zara Qairina yang dibuat di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, Sabah, berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Peguam Shahlan Jufri yang menyaksikan proses itu atas permintaan keluarga arwah bermula dari jam 11 pagi hingga jam 7.30 malam, melihat sendiri prosedur itu dari mula hingga akhir.
Sebaik selesai bedah siasat selama lapan jam, jenazah dikebumikan semula malam tadi yang mengambil masa kira-kira 30 minit dan selesai sekitar jam 1 pagi.
Pelajar berusia 13 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di SMKA Tun Mustapha, Papar pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.