KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman menyempurnakan Majlis Istiadat Konvokesyen Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) ke-19 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Isnin.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hadir pada jam 9.20 pagi sebelum keberangkatan tiba Musa yang seterusnya merasmikan majlis berkenaan.
Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama dan Pendidikan Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee.
Majlis penganugerahan melibatkan seramai 305 graduan yang berjaya menamatkan pengajian Diploma Dakwah Islamiah, Sijil Pengajian Islam dan Sijil Asas Pengajian Islam Malaysia.
Turut disampaikan ialah Anugerah Alumni IPDAS, Anugerah Yang di-Pertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Anugerah Ketua Pengarah JAKIM, Anugerah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Anugerah Ketua Menteri Sabah serta Pingat Emas TYT Yang Dipertua Negeri Sabah.