KOTA KINABALU: Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa I merupakan inisiatif penting kerajaan negeri dalam memperkukuh infrastruktur di Sabah.
Dengan jarak pembinaan sepanjang 706 kilometer, projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029 dan menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat Sabah.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya pada Jun lepas berkata, kerja-kerja masih tertumpu kepada proses penilaian tanah serta rumah-rumah terbabit, yang kini giat dijalankan, sekali gus menjadi faktor utama menyumbang kepada kelewatan kerja fizikal di tapak.
Beliau juga mengarahkan pemaju dan semua pihak terbabit supaya mengambil langkah proaktif memastikan proses pembangunan pakej berkenaan berjalan lancar serta cepat.
Selain itu, beliau mengingatkan semua pihak termasuk Jabatan Kerja Raya, kontraktor dan pusat projek untuk mengenal pasti lebih awal sebarang risiko yang boleh menjejaskan kelancaran projek, supaya impaknya dapat diminimumkan dalam tempoh kontrak.
Pada masa sama, Shahelmey menekankan kepentingan aspek penyelenggaraan jalan sedia ada yang masih digunakan orang awam.
Beliau turut meminta agar keselamatan dan pengurusan trafik diberikan perhatian serius sepanjang tempoh pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo.
Dalam pada itu, Kementerian Kerja Raya peringkat Persekutuan tidak lagi bertolak ansur terhadap sebarang kelewatan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo khususnya bagi Pakej 1B.
Kenyataan itu diumumkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika mengadakan lawatan kerja di Sabah pada Julai lalu.
Beliau berkata, tiada sebarang lanjutan masa atau Extension of Time (EOT) akan diberikan kepada mana-mana kontraktor yang terbabit dalam projek itu bagi memastikan kelewatan seperti yang berlaku dalam Pakej 1A tidak berulang.
Menurutnya, Pakej 1A membabitkan 15 Pakej Kerja (WP) manakala Pakej 1B melibatkan 19 WP yang baharu dianugerahkan pada penghujung tahun lalu.
Katanya, kelewatan dalam pelaksanaan Pakej 1A amat ketara apabila terdapat kontraktor yang menerima sehingga empat hingga lima kali EOT sehingga menyebabkan projek lewat dua hingga tiga tahun.
Jelasnya, dalam tempoh pelaksanaan projek, kontraktor bertanggungjawab sepenuhnya menyelenggara jalan yang diambil alih daripada konsesi penyelenggaraan jalan persekutuan.
Pihak kementerian juga mahu melihat lebih banyak projek disiapkan lebih awal atau Ahead of Time (AOT), kerana ia memberi manfaat kepada semua pihak.
Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa I merupakan langkah strategik dalam memperkukuh jaringan infrastruktur negeri.
Dengan komitmen kerajaan negeri dan persekutuan serta pendekatan tegas terhadap pengurusan projek, usaha ini dijangka memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah.
Keutamaan terhadap kelancaran pelaksanaan, keselamatan pengguna dan penyelenggaraan jalan menunjukkan kesungguhan semua pihak dalam memastikan kejayaan projek ini menjelang 2029.