KOTA KINABALU: Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) terus mencipta pelbagai pencapaian terbaik seiring dengan usaha Kerajaan Negeri Sabah untuk meningkatkan pembangunan sektor ekonomi negeri ini.
Melalui Hala Tuju SMJ 1.0, Sabah merekodkan pencapaian memberangsangkan dengan purata pelaksanaan pembangunan mencecah 94 peratus daripada 467 inisiatif yang dirancang setakat Mei tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara sektor yang terus menjadi keutamaan adalah pertanian, perindustrian dan pelancongan.
Selain itu katanya, usaha memperkukuh modal insan, kesejahteraan rakyat, jaringan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar juga terus diperkasakan.
Dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian, pelbagai bentuk bantuan rakyat turut disalurkan.
Menurutnya, ia termasuk memperkukuh akses pendidikan serta pengenalan Skim Insurans Perlindungan Rakyat Sabah yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.
Dalam pada itu jelasnya, program pembangunan dan peruntukan yang diumumkan untuk Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) disifatkan sejajar dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ.
"Kerajaan negeri menyambut baik komitmen kerajaan Persekutuan yang diterjemahkan melalui pembentangan RMK13 yang menyokong aspirasi pembangunan Sabah.
"Ia jelas mencerminkan sokongan padu kerajaan Persekutuan terhadap Sabah di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kerajaan negeri turut berpuas hati apabila beberapa projek berimpak tinggi yang dicadangkan telah dimasukkan dalam pelan pembangunan jangka panjang itu," katanya.
Beliau berkata, antara projek yang dicadangkan termasuk perluasan utiliti kritikal seperti bekalan air, sistem pembetungan dan pemindahan air, pembinaan infrastruktur strategik seperti jalan raya, tebatan banjir dan kemudahan kesihatan, serta pembangunan Hab Ekonomi Biru.
Menurutnya, RMK13 juga memberi keutamaan kepada pembangunan rangkaian jalan raya yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Kalimantan, sejajar dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan Timur.
Sejak menerajui pentadbiran kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun ini, Hajiji berjaya membawa anjakan signifikan kepada landskap pembangunan Sabah.
Dengan berpandukan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ, setiap inisiatif pembangunan dilaksanakan secara tersusun antaranya melibatkan struktur hasil dan dagangan, pembaikan infrastruktur, pemerkasaan pelabuhan, pembangunan insan, reformasi tadbir urus serta penjagaan budaya.
Tidak hairanlah apabila Sabah meraih pencapaian paling membanggakan dengan mencatat jumlah dagangan melebihi RM100 bilion untuk tiga tahun berturut-turut dari 2022 hingga 2024, dengan nilai tertinggi sebanyak RM118.1 bilion pada 2023.
Dalam Belanjawan 2025, sejumlah RM5.85 bilion diperuntukkan khusus untuk membaiki jalan, bekalan air, prasarana asas dan kebajikan masyarakat luar bandar, sekali gus menjawab keraguan terhadap keberkesanan pelaksanaan projek-projek terdahulu yang sering tertangguh atau terbengkalai.
Menurutnya, sejak 2020, Sabah melaksanakan beberapa pembetulan dasar secara menyeluruh, terutama dalam mempelbagaikan sumber hasil dan memperkukuh industri hiliran.
"Kerajaan negeri sentiasa komited membangunkan ekonomi negeri yang moden, berdaya saing dan inklusif menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ.
"Pelan Hala Tuju SMJ dirangka sebagai kerangka utama kepada pelbagai pelan pembangunan sektor dengan fokus kepada kesejahteraan seluruh rakyat Sabah, termasuk di bandar dan luar bandar.
"Komitmen kita terhadap masa depan Sabah amat jelas dalam pelan ini, yang berlandaskan tiga teras utama iaitu pertama, pertanian, perindustrian dan pelancongan; kedua, pelaburan dalam modal insan; dan ketiga, mempertingkatkan hubungan dengan pendekatan hijau," katanya.
Justeru jelasnya, pembangunan ekonomi Sabah bukan sekadar berkisar pada angka pertumbuhan, tetapi berteraskan matlamat untuk membina masa depan bersama yang inklusif dan mampan.
Hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) adalah komitmen kerajaan yang tidak akan goyah dengan segala polemik semasa.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan perlu meneruskan pelan tindakan yang ada tanpa terlalu berpolitik, sebaliknya menghargai mandat yang diberikan rakyat.
Menurutnya, SMJ adalah hala tuju bersama milik semua anak watan Sabah dan bukannya pelan milik peribadi Ketua Menteri mahupun jemaah menteri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).