Tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat kes yang tidak mengikut SOP dalam kes Zara Qairina – Pengarah JSJ
18:08 Aug 13, 2025  |  By SabahKini2
Tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat kes yang tidak mengikut SOP dalam kes Zara Qairina – Pengarah JSJ

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar berkata, pasukan task Force bermula pada 11 Ogos lalu dan hasil penemuan awal mendapati terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur siasatan.

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan dikenakan ke atas pegawai penyiasat dan penyelianya susulan dapatan hasil siasatan pasukan Task Force Bukit Aman mendapati terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur siasatan membabitkan kematian Zara Qairina Mahathir.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar berkata, pasukan task Force bermula pada 11 Ogos lalu dan hasil penemuan awal mendapati terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur siasatan di mana pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, sehubungan itu, tindakan tegas akan diambil kepada pegawai penyiasat dan penyelia kerana tiada penyeliaan.

"Walau bagaimanapun, saya juga perlu mendedahkan bahawa terdapat persetujuan atau permohonan daripada ibu mangsa memohon supaya bedah siasat tidak dibuat.

"Persetujuan ini direkodkan dengan tandatangan ibu mangsa, doktor, patalogi dan pegawai penyiasat dalam satu dokumen 'Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri' yang dikeluarkan pihak hospital," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini hari ini.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan supaya inkues dijalankan berhubung kes kematian Zara Qairina.

AGC dalam kenyataan hari ini, memaklumkan keputusan dibuat selepas pihaknya meneliti laporan siasatan dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

Menurut AGC, ia selaras dengan peruntukan di bawah Subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

"Prosiding inkues ini bertujuan menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina.

"Proses ini akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama jam 4 pagi pada 16 Julai lalu.

Pelajar berusia 13 tahun itu kemudian disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.

Pada 8 Ogos lalu, AGC mengarahkan supaya kubur Allahyarham Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

Comment