KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 kertas sudah dibuka susulan kematian pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah, Zara Qairina Mahathir berkaitan maklumat tidak sahih yang dikeluarkan termasuk dakwaan dibuli menggunakan mesin basuh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar berkata, ada beberapa berita palsu yang tersebar di media sosial.
Menurutnya, antaranya adalah satu berita yang mengatakan Zara dimasukkan dalam mesin basuh.
"Di sini pihak polis siasat menyiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia di mana seorang wanita berusia 39 tahun ditangkap untuk siasatan kes ini di Rawang, Selangor.
"Kes masih dalam proses siasatan. Selain daripada itu, termasuk kes ini, pihak polis sudah membuka 15 kertas siasatan terhadap macam-macam berita yang tidak sahih dikeluarkan.
"Suatu berita yang tidak sahih, tidak benar, boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dan juga proses siasatan," katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.