Peguam wakil keluarga Allahyarham Zara Qairina cadang individu terlibat buli didakwa
18:08 Aug 14, 2025  |  By SabahKini2
Peguam wakil keluarga Allahyarham Zara Qairina cadang individu terlibat buli didakwa

Kenyataan itu menjelaskan, sekiranya keterangan yang diperoleh kukuh untuk digunakan di mahkamah, pendakwaan boleh dibuat terhadap pihak yang terbabit dan inkues tidak perlu dijalankan.

KOTA KINABALU: Pasukan peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina mencadangkan agar individu terlibat dalam perbuatan buli sebelum kejadian didakwa mengikut Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

Menurut kenyataan media, cadangan itu dibuat selepas pendedahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar mengenai hasil siasatan Pasukan Petugas Khas JSJ Bukit Aman yang menemukan keterangan menjurus kepada perbuatan buli.

Dalam peruntukan itu, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Kenyataan itu menjelaskan, sekiranya keterangan yang diperoleh kukuh untuk digunakan di mahkamah, pendakwaan boleh dibuat terhadap pihak yang terbabit dan inkues tidak perlu dijalankan.

Bagaimanapun, jika keterangan berkenaan tidak cukup kuat untuk membentuk kesalahan mengikut seksyen terbabit, siasatan lanjut perlu diteruskan bagi memperkukuh bukti sedia ada. 

Dalam keadaan itu, inkues dicadangkan diadakan serentak dengan siasatan lanjutan, dan pendakwaan boleh dibuat kemudian.

Peguam juga menegaskan sidang media oleh JSJ Bukit Aman membuktikan dakwaan ‘plot twist’ yang ditularkan di media massa sebelum ini kononnya anak guam mereka menjadi punca kematian Zara adalah tidak benar.

Kenyataan itu menyifatkan ‘plot twist’ itu sebagai naratif jahat yang direka untuk memfitnah anak guam mereka dan arwah Zara.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada M Kumar, JSJ Bukit Aman dan Pasukan Petugas Khasnya kerana bertindak pantas menyiasat kematian Zara,” menurut kenyataan itu.

Pihak peguam turut merayu mana-mana individu yang mempunyai maklumat bagi membantu siasatan agar tampil ke hadapan dan menyalurkan maklumat kepada polis.

Mereka bersedia membantu pihak yang takut atau memerlukan bimbingan untuk mengemukakan maklumat berkenaan.

Peguam turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyokong dan berdoa dalam usaha mencari keadilan untuk Zara.

Pada masa sama, orang ramai diminta mengelakkan diri daripada membuat spekulasi tidak benar berhubung kes berkenaan.

Kenyataan media bersama dikeluarkan Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

Comment