Lima remaja akan didakwa Rabu ini terkait kes Zara Qairina
21:08 Aug 18, 2025  |  By SabahKini2
Lima remaja akan didakwa Rabu ini terkait kes Zara Qairina

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata semua remaja terbabit berusia bawah 18 tahun akan dibawa ke Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu bagi proses pertuduhan.

KUALA LUMPUR: Seramai lima remaja bawah umur akan dituduh di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah, pada Rabu ini, berhubung kes buli pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata semua remaja terbabit berusia bawah 18 tahun akan dibawa ke Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu bagi proses pertuduhan.

"Seramai lima orang akan dituduh pada Rabu ini di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah, kerana kesalahan berkaitan kes buli Allahyarham Zara Qairina.

"Mereka berusia di bawah 18 tahun," katanya, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan rasmi mengesahkan pihaknya meneliti kertas siasatan polis dan membuat keputusan menuduh beberapa individu yang terbabit dalam kes buli itu berdasarkan keterangan yang ada.

Kenyataan itu berkata, keputusan menuduh suspek bagi kesalahan buli dibuat kerana ia tidak akan menjejaskan prosiding inkues kematian Zara Qairina yang akan dijalankan di mahkamah.

AGC menegaskan walaupun pertuduhan kesalahan buli dilakukan, siasatan polis berhubung kematian Zara Qairina tetap diteruskan termasuk prosiding inkues yang sedang berjalan.

Comment