LAHAD DATU: Seorang lelaki warga Filipina ditahan bersama syabu seberat 58.37 gram menerusi Op Tapis di Kampung Puyut, Jalan Pantai, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin HJ. Ismail, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
Katanya, pemeriksaan ke atas suspek berusia 58 tahun membawa kepada penemuan 13 paket plastik berisi hablur jernih dipercayai syabu bernilai lebih RM6,400.
“Turut dirampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah.
“Sebuah bot berwarna hijau bersama enjin sangkut juga disita kerana disyaki digunakan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Beliau berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati, jika disabitkan kesalahan.
“Operasi ini membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya IPD Lahad Datu, dalam membanteras kegiatan pengedaran dadah di daerah ini,” katanya.