Yayasan Sabah berperanan penting dalam pembangunan negeri Sabah
19:08 Aug 28, 2025  |  By SabahKini2
Yayasan Sabah berperanan penting dalam pembangunan negeri Sabah

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kumpulan Yayasan Sabah bukan sekadar sebuah institusi. Ia adalah legasi perjuangan yang diasaskan oleh pemimpin ulung negeri ini, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun pada 1966.

TAMBUNAN: Kumpulan Yayasan Sabah memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri ini sejak 1966 seiring dengan mandat memastikan hasil negeri dapat dinikmati bersama oleh semua rakyat Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kumpulan Yayasan Sabah bukan sekadar sebuah institusi. Ia adalah legasi perjuangan yang diasaskan oleh pemimpin ulung negeri ini, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun pada 1966.

Katanya, tahun hadapan menandakan ulang tahun ke-60 Kumpulan Yayasan Sabah, dan ini adalah pencapaian luar biasa bagi sebuah organisasi yang ditubuhkan demi rakyat. Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 di sini hari ini.

Menurutnya, YSBR 2025 di daerah ini membuktikan kerajaan negeri kekal komited turun padang bertemu rakyat di semua peringkat, dari bandar hingga ke pelosok desa, untuk memahami dan menangani keperluan sebenar rakyat.

"Menerusi bantuan pendidikan Yayasan Sabah, ramai anak-anak Sabah berjaya keluar daripada kitaran kemiskinan dan menjadi profesional serta pemimpin.

"Institusi pendidikan Kumpulan Yayasan Sabah iaitu Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) turut menjadi platform utama dalam melahirkan generasi berpengetahuan dan berkemahiran tinggi," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga melalui Kumpulan Yayasan Sabah memperkenalkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, khususnya golongan B40.

Menurutnya, inisiatif ini membuktikan tiada seorang pun anak Sabah akan tercicir dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi hanya kerana kekangan kewangan. 

"Sejak diperkenalkan pada 2022, sebanyak RM17.8 juta telah dibelanjakan bagi TPNS, memberi manfaat kepada 10,912 pelajar,” katanya.

Hajiji, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata Kumpulan Yayasan Sabah turut diiktiraf sebagai peneraju dalam pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar.

Katanya, sehingga 2025, seluas 199,146 hektar atau 94.5 peratus daripada jumlah kawasan pemuliharaan Kumpulan Yayasan Sabah seluas 210,725.6 hektar diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan).

“Kawasan pemuliharaan seperti Lembah Danum, Banjaran Maliau, Imbak Canyon, Sungai Taliwas dan Pantai Silam, yang diiktiraf sebagai rujukan saintifik bertaraf dunia, menjadi contoh komitmen Kumpulan Yayasan Sabah dalam memelihara alam sekitar semula jadi Sabah.

“Usaha pemuliharaan ini bukan sahaja tentang melindungi alam, tetapi juga mengukuhkan identiti Sabah sebagai sebuah negeri yang menghormati warisan semula jadinya untuk generasi akan datang,” jelasnya.

Hajiji berkata, YSBR 2025 merupakan kesinambungan usaha membawa agensi, peluang dan perkhidmatan terus kepada rakyat agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan. Pada majlis itu, Hajiji diiringi Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar menyampaikan antaranya tajaan pendidikan Yayasan Sabah dan bantuan TPNS kepada pelajar serta warta Tapak Kampung.

Comment