Musa Aman, Hajiji hadiri Majlis Tahlil, Doa Kesyukuran Hari Kebangsaan dan Hari Sabah
18:08 Aug 29, 2025  |  By SabahKini2
Musa Aman, Hajiji hadiri Majlis Tahlil, Doa Kesyukuran Hari Kebangsaan dan Hari Sabah

Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat sebelum diteruskan dengan azan, Solat Jumaat dan Solat Hajat bagi memohon keberkatan, keselamatan serta kesejahteraan rakyat dan negeri.

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Haji Aman bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengetuai kepimpinan negeri menghadiri Majlis Tahlil, Doa Kesyukuran dan Solat Hajat sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Tahun 2025 di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, barisan wakil rakyat serta ketua-ketua jabatan kerajaan.

Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat sebelum diteruskan dengan azan, Solat Jumaat dan Solat Hajat bagi memohon keberkatan, keselamatan serta kesejahteraan rakyat dan negeri.

Program tahunan itu diadakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme serta sebagai simbolik kesyukuran rakyat Sabah atas nikmat keamanan, kemajuan dan keharmonian yang terus dikecapi sejak pembentukan Malaysia.

Comment