KUALA LUMPUR: Pakar patologi yang menjalankan bedah siasat terhadap jenazah Zara Qairina Mahathir antara saksi utama akan dipanggil memberi keterangan ketika inkues berhubung kematian remaja berkenaan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan, saksi utama itu akan menerangkan mengenai punca kematian mangsa.
"Setakat ini pihak Pendakwa Raya yang bertindak sebagai Pegawai Pengendali bercadang memanggil kira-kira 70 orang saksi.
"Pasukan Pegawai Pengendali sudah membuat persiapan rapi, termasuk penyediaan dokumen yang akan dikemukakan ketika prosiding inkues berkenaan serta penyerahan dokumen kepada peguam yang mewakili pihak berkepentingan dalam prosiding berkenaan.
"Prosiding inkues ini akan disertai pihak berkepentingan dan peguam pemerhati seperti yang dibenarkan oleh Mahkamah Koroner," katanya.
AGC berkata, pihak berkepentingan iaitu ibu Zara Qairina diwakili Tetuan Hamid & Co, Shahlan Jufri & Co, Tetuan Rizwan M Borhan & Co, JP Keruak serta Messrs FN Lee & Nasser.
"Pihak berkepentingan pesalah kanak-kanak pertama diwakili oleh Tetuan Ram Singh & Co serta Goh & Associates manakala pihak berkepentingan pesalah kanak-kanak kedua hingga kelima diwakili oleh Tetuan Azhier Arisin & Jaafar.
"Sabah Law Society bertindak sebagai peguam pemerhati. Jabatan ini bertekad memastikan prosiding inkues dapat dijalankan dengan lancar supaya keadilan dapat ditegakkan.
"AGC berpegang kepada prinsip keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi perlu dilihat sebagai dilaksanakan," katanya.
AGC turut mengambil maklum perhimpunan 'No Justice No Merdeka' di Sabah hujung minggu ini berkait kematian Zara Qairina walaupun pendakwa raya sudah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bagi mengadakan inkues, selaras subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
"Prosiding inkues berhubung kematian Zara Qairina ditetapkan untuk pendengaran September ini iaitu pada 3 hingga 5, 8 hingga 12, 17 hingga 19, 22 hingga 26 dan 29 hingga 30," katanya.