KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di Ranau dan Telupid, pada 28 Ogos lalu.
Dalam operasi berkenaan, polis merampas syabu seberat 41.63 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.32 juta. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 8.15 pagi di kawasan stesen minyak Petronas Kampung Kilimu, Jalan Ranau-Poring.
“Polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun bersama sebuah beg bagasi hitam berisi 20 bungkusan plastik bertulis ‘Alishan Xin Juan Tea’ yang mengandungi syabu. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dadah terbabit mempunyai berat kasar 21.3 kilogram dengan nilai dianggarkan RM681,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil. Jauteh berkata, suspek pertama yang berasal dari Miri, Sarawak kini direman hingga 5 September depan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Susulan itu, polis meneruskan operasi di Telupid sebelum menahan sebuah kereta Perodua Bezza di perkarangan Masjid Jamek Yusof Al-Qardhawi pada jam 9.20 pagi.
“Pemeriksaan menemukan 20 bungkusan plastik syabu dengan berat kasar 20.33 kilogram bernilai sekitar RM650,560. Dua suspek berusia 24 dan 26 tahun yang berasal dari Lahad Datu dan Tawau ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek bertindak sebagai ‘runner’ bagi menghantar bekalan dari Kota Kinabalu ke Tawau dan Semporna dengan bayaran RM1,000 setiap kilogram syabu.
“Mereka mengaku terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Februari lalu dan ini adalah penghantaran ketiga. Dua daripada suspek mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Jauteh berkata, polis turut menyita sebuah Toyota Vios, sebuah Honda City dan sebuah motosikal Yamaha Ego dengan nilai keseluruhan harta sitaan berjumlah RM62,000. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
“Polis Sabah komited memerangi pengedaran dadah tanpa kompromi. Dadah adalah musuh nombor satu negara dan usaha membanterasnya memerlukan kerjasama masyarakat. Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti ini melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222,” katanya.