Patung akan digunakan untuk demonstrasi semula kejadian Zara Qairina petang ini
17:09 Sep 04, 2025  |  By SabahKini2
Patung akan digunakan untuk demonstrasi semula kejadian Zara Qairina petang ini

Selepas demonstrasi itu nanti, Ram Singh berkata, pihaknya bersama keluarga arwah dan Dr Jessie dijangka ke lokasi kejadian untuk mendapatkan gambaran lanjut sebelum sebarang soalan tambahan dikemukakan.

KOTA KINABALU: Inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, bakal menyaksikan sesi demonstrasi menggunakan patung (mannequin) pada prosiding di Mahkamah Koroner di sini, sekitar jam 2 petang ini.

Peguam mewakili tertuduh remaja, Datuk Ram Singh, berkata keluarga arwah bersama Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, memutuskan untuk menggunakan patung bagi membantu menunjukkan semula situasi penting ketika Zara Qairina didakwa melompat atau berlari sebelum insiden pelajar itu ditemui tidak sedarkan diri di tepi longkang berhampiran asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu.

"Penggunaan patung lebih sesuai kerana ada satu kejadian penting ketika Dr Jessie cuba membuat demonstrasi melompat dan berlari. Itu perlu ditunjukkan dengan lebih tepat.

"Apabila kami mempunyai ruang untuk bertanya soalan, kami akan lakukannya. Paling tidak, kita dapat menyelesaikan soal penjelasan daripada Dr Jessie, hari ini," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah, hari ini.

Selepas demonstrasi itu nanti, Ram Singh berkata, pihaknya bersama keluarga arwah dan Dr Jessie dijangka ke lokasi kejadian untuk mendapatkan gambaran lanjut sebelum sebarang soalan tambahan dikemukakan.

Katanya, penjelasan Dr Jessie berserta demonstrasi patung itu adalah penting kerana ia bukan saja akan membantu mahkamah, malah boleh memberi kefahaman jelas kepada masyarakat berhubung perkara terbabit.

Beliau sekali gus memaklumkan bahawa isu berkaitan mesin basuh sudah diselesaikan, manakala isu bau yang diperkatakan sebelum ini pula akan diperjelaskan oleh Dr Jessie.

Comment