SANDAKAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) biarpun selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah memutuskan tidak bekerjasama dengan parti itu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keputusan meneruskan kerjasama dengan PH dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS dengan mengambil kira kerajaan negeri hari ini adalah gabungan GRS dan PH.
Sehubungan itu, katanya, terpulang kepada UMNO jika menolak bekerjasama, tetapi pihaknya tetap mengekalkan kerjasama sedia ada dengan PH.
"Itu terpulang kepada BN dan UMNO (jika tidak mahu bekerjasama). GRS sudah pun putuskan kerjasama kita dalam kerajaan sekarang ini kita teruskan bersama PH. Kerajaan sekarang ini adalah GRS dan PH," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di sini, hari ini. Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengulas keputusan UMNO Sabah untuk tidak bekerjasama dengan GRS pada PRN17, sebaliknya kekal menjalin kerjasama dengan PH.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam mengesahkan perkara itu selepas beberapa siri perbincangan bersama PH dan GRS.
Ditanya jika keputusan BN tidak bekerjasama dengan GRS pada PRN17 bercanggah dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Hajiji berkata, keadaan politik Negeri di Bawah Bayu unik dan demokrasi.
"Ini bukan baru berlaku. Di Sabah, BN pembangkang dan di peringkat pusat, BN bersama (kerajaan). Ini biasalah dalam politik, terutama di Sabah," katanya.
Hajiji berkata, GRS belum memutuskan sama ada gabungan itu benar-benar tidak akan bekerjasama dengan BN dan akan membuat pengumuman selepas ia dimuktamadkan.
Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata, kerajaan negeri mengkaji untuk memperkenalkan satu rang undang-undang berkaitan buli di peringkat negeri. Katanya, rang undang-undang itu dijangka akan dibawa dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas PRN17 berakhir.