Tanah runtuh di Jalan Tambunan memusnahkan rumah dan dua kenderaan rosak
16:09 Sep 18, 2025  |  By SabahKini2
Tanah runtuh di Jalan Tambunan memusnahkan rumah dan dua kenderaan rosak

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.21 pagi sebelum pasukan segera digerakkan ke lokasi.

PENAMPANG: Sebuah rumah musnah manakala dua kenderaan rosak dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Madsiang, Jalan Tambunan di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.21 pagi sebelum pasukan segera digerakkan ke lokasi.

“Pasukan pertama tiba di lokasi pada jam 1.36 pagi selepas bergerak sejauh enam kilometer dari BBP Penampang.

“Hasil siasatan awal mendapati tanah runtuh berlaku di kawasan berbukit berhampiran kediaman penduduk, kesan runtuhan itu mengakibatkan sebuah rumah roboh sepenuhnya.

“Selain itu, dua buah kenderaan yang diletakkan berhampiran turut mengalami kerosakan akibat dihimpit timbunan tanah dan serpihan runtuhan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan semua penghuni rumah serta penduduk berhampiran dilaporkan selamat.

“Pasukan bomba bertindak memberi khidmat nasihat kepada penduduk agar berpindah ke kawasan lebih selamat sekiranya keadaan cuaca tidak menentu berterusan.

“Langkah ini diambil kerana dibimbangi berlaku runtuhan susulan memandangkan keadaan tanah yang masih lembut akibat hujan.

“Pada masa sama, pasukan bomba turut membuat pemantauan di sekitar kawasan runtuhan bagi memastikan tiada ancaman baharu yang boleh mengancam keselamatan penduduk,” katanya.

Selepas memastikan kawasan terkawal dan tiada lagi ancaman segera, operasi ditamatkan pada jam 2.20 pagi.

Comment